Perbedaan antara yang MUNGKIN dan TIDAK MUNGKIN, terletak pada TEKAD KITA.

Senin, 30 Agustus 2010

Meraih Nikmat Ramadan


Dari Abi Musa Abdullah bin Qais Al-Asy`ari ra dari Nabi Muhammad s.a.w berkata;

"Sesungguhnya Allah s.w.t tetap menghulurkan tangannya pada malam hari agar orang yang bermaksiat pada siangnya bertaubat. Dan masih mengulurkan tangannya pada siang hari agar orang yang bermaksiat pada malam hari akan bertaubat. Sampai matahari terbit dari arah barat (terjadinya kiamat)." (dipetik dari Hadis Riwayat Muslim)

Betapa kasihnya Tuhan kepada umat Islam sehingga memberi ruang dan peluang sehingga detik-detik akhir dunia menuju kiamat, bahawa dosa dan pahala masih diterima ketika itu. Namun, segala pintu taubat dan iman tidak akan dikira ketika matinya anak adam dan terbitnya mentari dari Barat.

Demikianlah persoalan masa dan tempoh yang Tuhan beri untuk umat manusia taat dan sentiasa menyintai-Nya sehingga akhir hayat. Juga sehingga dunia kiamat. Hal ini membuktikan Tuhan Maha Pengampun.

Ramadan muncul lagi. Bulan yang penuh rahmat dan berkat. Bulan yang di dalamnya terbuka pintu syurga dan tertutupnya pintu neraka. Bulan pengampunan dan bulan menyucikan diri. Bulan yang nilainya melebihi bulan-bulan yang lain.

Alhamdulillah, bagi mereka yang masih punya kesempatan menunaikan ibadah sebaiknya di dalam bulan ini. Syukur yang tidak terhingga juga diucap oleh individu yang faham dan tahu betapa besarnya nikmat dan pahala yang bakal diperolehi jika bulan ini diisi sebaiknya dengan amalan yang disunatkan.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w berkata;
“Sungguh, telah datang padamu bulan yang penuh berkat, di mana Allah mewajibkan kamu berpuasa, di saat dibuka pintu-pintu surga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan, dan di mana dijumpai suatu malam yang dinilainya lebih berharga dari seribu bulan, maka barang siapa yang tidak berhasil beroleh kebaikannya, sungguh tiadalah ia akan mendapatkan itu buat selama-lamanya.” (Hadis Riwayat Ahmad, Nasa’i dan Baihaqi)

Keistimewaan Ramadan

Meninjau sejarah di dalam kalendar Islam, pelbagai peristiwa yang berlaku di dalam bulan ini boleh dijadikan pengajaran untuk umat Islam membentuk diri menjadi insan yang kamil.

Antaranya, di bulan Ramadan, kesemua kitab Allah diturunkan termasuklah kitab Qur’an yang mula diturunkan dengan turunnya ayat yang pertama sehingga yang kelima surah al-‘Alaq kepada Rasulullah s.a.w semasa baginda di gua Hira’.

Dengan itu bulan Ramadan disebut juga bulan al-Qur’an, bulan untuk membaca al-Qur’an juga bulan memahami ‘bicara Tuhan’. Fahami setiap bicara Tuhan melalui kalam yang dibekalkan kepada kita.

Ramadan juga dikenali sebagai bulan kemenangan.Bukan sahaja kemenangan ketika kita berbuka puasa setelah menahan lapar dan mengawal diri daripada hawa nafsu sepanjang hari, tetapi juga kemenangan yang dirasai dalam bentuk lebih besar iaitu menegakkan syariat dan agama.

Kemenangan beberapa siri peperangan yang berlaku pada bulan Ramadan, menunjukkan bahawa, perjuangan mempertahan Islam tidak mengira lapar dan dahaga, penat atau lelah, sekalipun mengorbankan nyawa.

Antara peperangan yang diharungi oleh orang Islam zaman dahulu ialah Perang Badar al-Kubra yang berlaku pada 8 dan17 Ramadan dimenangi oleh Islam dan inilah kemenangan agung pertama Rasulullah s.a.w bersama pejuang-pejuang Islam menentang kemusyrikan dan kebatilan. Juga terjadinya Perang Tabuk dan Perang Salib yang menguji keteguhan iman pejuang Islam ketika itu. Juga beberapa siri menentang kemaraan tentera musuh yang dihadapi dengan tenang dan penuh keimanan oleh tentera Islam.

Pada tahun ke-2 hijrah juga, zakat fitrah mula disyariatkan. Pada hakikatnya pensyariatan zakat ini adalah tanda kemenangan orang-orang yang berpuasa menentang hawa nafsu dan mengekang kecintaan terhadap harta.

Tidak terlupakan pada 21 Ramadan tahun ke - 8 Hijrah, berlaku peristiwa pembukaan kota Mekah, dan Allah s.w.t memberi kemenangan besar kepada Rasulullah s.a.w dan umat Islam dengan pembukaan kota suci Mekah. Pada mulanya baginda bersama-sama para sahabat meninggalkan Madinah menuju Mekah pada 10 Ramadan dalam keadaan berpuasa. Apabila sampai di al-Kadid, baginda berbuka kerana bermusafir, kemudian pada 21 Ramadan barulah baginda memasuki kota Mekah.

Bulan Ramadan bukan sahaja bulan kemenangan tetapi juga bulan kesabaran, bulan menyucikan hati dan meningkatkan rohani kepada yang lebih baik dan bersih. Pada bulan ini kita bukan sahaja diuji dengan rasa lapar dan dahaga, malahan turut diuji sejauhmana kita mampu mengawal rasa marah, tamak, syak wasangka,dan segala sifat Mazmumah yang harus diganti dengan sifat-sifat Mahmudah.

Berpuasa yang bermaksud menahan lapar dan dahaga serta mengawal hawa nafsu memberi kebaikan yang bukan sedikit kepada masyarakat Islam. Merehatkan perut selama sebulan mampu menghindar segala macam penyakit yang di bawa oleh makanan seterusnya memberi kesan kepada rohani.

Di bulan ini juga, nafsu mampu dibentuk dengan amalan-amalan yang disarankan oleh Allah s.w.t seperti membaca Qur’an dengan memahami isi kandungannya sebaiknya, menjaga lidah daripada berdusta dan memperkatakan tentang hal orang lain, memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang tidak bermakna, dan berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia.

Namun, sejauhmanakah keistimewaan Ramadan dinikmati dan masih hormatkan masyarakat Islam dengan bulan yang penuh kemuliaan ini?

Ramadan dan masyarakat hari ini.

Meninjau masjid-masjid dan surau-surau ketika bulan Ramadan, memberi tafsiran yang baik. Sudah setengah bulan berpuasa, masjid-masjid dan surau-surau di bandar atau kampung masih dimeriahkan dengan solat fardhu berjemaah, disambung kepada solat terawikh sehingga ke penghujungnya. Malahan, terdapat majlis bertadarus Quran yang disepakati oleh masyarakat Islam serta Qiamulail yang dilakukan demi mengejar pahala dan keberkatan bulan Ramadan ini.

Namun, itulah sahaja perlambangan sambutan Ramadan yang boleh dibanggakan
Selainnya, memang menunjukkan kehadiran bulan Ramadan tetapi tidak selaras dengan apa yang sepatutnya di isi dalam bulan Ramadan.
Sebagai contoh, jualan hari raya pelbagai bentuk dan ragam meliputi pakaian hari raya, kelengkapan rumah, kuih-muih dan sebagainya yang melebihi sepatutnya. Meriahnya Ramadan dengan jualan murah dan menggamit masyarakat memenuhi ruang pusat membeli-belah sehingga lupa segala.

Sememangnya, bulan Ramadan dan Syawal menjanjikan punca rezeki kepada kebanyakan masyarakat Islam yang boleh berniaga pelbagai jenis kuih-muih, hidangan berbuka, pakaian hari raya dan selainnya. Namun, perkara yang tidak wajar dilakukan oleh peniaga muslim ialah menjual makanan dan minuman di bazar Ramadan dengan kualiti yang rendah.

Isu makanan basi, tidak memenuhi jangkaan dan buat sekadarnya, amat memalukan apatah lagi, peniaga ini hanya berpeluang sebulan berniaga sambil beribadah. Sengaja menaikkan harga dengan alasan yang pelbagai, menggunakan bahan yang rendah kualitinya serta tidak memberikan perkhidmatan layanan yang baik semasa berurusniaga dengan pelanggan antara hal yang perlu diambil berat oleh peniaga.
Kata orang, berniaga, berniaga juga, tapi jangan sampai menimbulkan rasa kurang senang antara kedua pihak sehingga membatalkan akad jual beli.

Sikap dan mentaliti masyarakat Islam juga perlu diperbetulkan dalam menyambut bulan Ramadan dan syawal ini. Berbuka dengan cara yang mewah bukan tujuan sebenar berpuasa. Sudah menjadi tren masa kini, masyarakat lebih gemar berbuka di hotel-hotel yang kebanyakannya melupakan konsep bersederhana.

Padahal, yang disaran melalui bulan Ramadan ialah menginsafi diri dan menundukkan nafsu yang membawa kepada perkara yang tidak sepatutnya. Berbuka di rumah bersama ahli keluarga, bersederhana dalam menyedia hidangan serta melakukan ibadah lain dengan selesa dan sempurna, merupakan cara yang dituntut dalam Islam.

Bukanlah tidak boleh berbuka di hotel atau restoran. Ia masih boleh dilakukan apatah lagi jika berbuka bersama ahli keluarga sekali sekala. Apa yang dibimbangkan ialah, jika kerap benar berbuka di hotel, rohani akan mudah terpesona dengan makanan dan hidangan yang mewah sehingga lupa kepada golongan miskin dan anak yatim yang serba kekurangan.

Kesimpulan

Ramadan yang dicitrakan sebagai bulan yang lebih baik daripada seribu bulan merupakan anugerah Tuhan kepada hamba-Nya. Anugerah yang tidak ternilai yang perlu dihayati mengikut syariat dan lunas-lunas yang diajarkan melalui sunnah dan hadis nabi dan terutamanya mengikut landasan yang diettapkan oleh Qu’ran.

Terpesona dengan makanan mewah semasa berbuka sehingga lupa pada yang tidak berdaya, merupakan satu hal yang terkeluar dari tujuan menjalani ibadah puasa. Begitu juga dengan pembaziran yang dilakukan untuk menyambut hari raya. Sedangkan, bulan Syawal itu adalah bulan merai mereka yang berpuasa dan juga merupakan bulan yang harus dihayati dengan keimanan yang tinggi.
Bagi peniaga pula, meraih rezeki yang halal di bulan Ramadan biarlah dengan cara yang betul dan penuh ibadah. Adakah kerana wang semata, maka mereka sanggup mengenepikan penghayatan Ramadan yang menuntut umatnya menundukkan nafsu tamak haloba, menipu, tidak amanah dan sebagainya?

Masih belum terlambat untuk kita mengubah rutin dan amalan berpuasa. Masih berbaki lebih kurang 5 hari untuk kita menyudahkan puasa dengan penuh ketaatan dan penghayatan. Mengisi 5 hari dengan memperbanyakkan ibadah di siang dan malam hari. Mengisi 5 hari dengan sifat mahmudah yang akan menaikkan taraf kita di sisi Tuhan. Mengisi 5 hari terakhir dengan keinsafan yang tinggi tentang apa sebenarnya yang perlu dilakukan di bulan ini. Juga mengisi 5 hari yang masih berbaki ini dengan ketakwaan menanti Lailatulqadar yang memberi seribu makna.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar